Demi kerana maruah, nama baik serta reputasi dirinya, pelakon serta vokalis Wings, Awie, tekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden Pekida, Tuan Haji Jamaluddin Yusof.
Tindakan undang-undang itu dilakukan selepas Jamaluddin dengan lantangnya telah membuat andaian, dakwaan serta tohmahan yang mengaitkan dirinya sebagai kepala gangster dengan tuduhan menjadi ketua kumpulan samseng serta salah seorang daripada 15,000 anggota pertubuhan itu yang telah songsang. Jamaluddin telah membuat kenyataan tersebut menerusi akhbar Metro Ahad edisi 14 Disember 2008 yang turut memaparkan artikel Awie mengenai pembabitannya dalam pertubuhan Pekida yang dianggotainya sejak 2001 hingga kemudian dilantik sebagai ayahanda pada 2004.
Saya benar-benar terkejut dengan dakwaan yang dibuat Tuan Haji Jamaluddin itu menerusi Metro Ahad. Ketika itu saya berada di Kota Bharu atas satu urusan. "Isteri saya yang beritahu saya supaya dapatkan akhbar. Hari itu memang Metro Ahad laris macam goreng pisang.
Tapi, saya berjaya juga mendapatkan 2 naskhah dan apabila saya baca, saya mengucap panjang."Kenapa saya lagi ditimpa dengan fitnah yang sebegini? Kalau fitnah menerusi cakap saja tidak mengapa. Tapi, bila ia dipaparkan dalam akhbar dan dibaca ratusan ribu orang, bagaimana?," katanya salam satu sidang media tergempar di Hotel Millenium, di sini, petang tadi.
Jelas Awie lagi, bagaimana dia hendak berhadapan dengan keluarga sekiranya timbul berita fitnah seperti itu? "Apa yang saya hendak cakap kepada 2 keluarga mertua saya. Hubungan bersama mertua lama tidak boleh putus kerana cucu mereka adalah anak-anak saya. Ada 5 perut dalam rumah saya yang saya hendak bagi makan. Apa yang saya hendak beri pada mereka lagi sekiranya ada pihak yang takut hendak beri saya job lagi? "Ada beberapa produser filem mahu ambil saya berlakon dalam filem-filem mereka. Apa yang saya hendak cakap pada mereka?
"Dan kalau, mereka tak mahu ambil saya berlakon kerana takut kontroversi yang tidak betul ini kerana ia mampu menjejaskan filem mereka, bagaimana saya hendak cari rezeki untuk keluarga saya? "Ada usahawan yang hendak buat bisnes dengan saya, tapi sebaik saja membaca kisah ini, mereka terpaksa suruh saya supaya berhati-hati kerana bimbang isu ini akan menjejaskan perniagaan yang bakal kami hendak mulakan nanti," katanya lagi dengan suara penuh emosi.
Tuduhan Jamaluddin Tidak Berasas Sambung Awie lagi, "Kalau benar saya ini boleh kutip RM3,600 daripada setiap ahli, buat apa saya sibuk menyanyi dan berlakon di sana sini? Lebih baik saya duduk bersenang lenang dan goyang kaki. Saya tidak perlu buat kerja apa-apa.
Kalau betul saya ini kepala gangster, buat apalah saya sibuk membuat kerja-kerja kebajikan untuk anak-anak yatim di seluruh Malaysia? "Untuk apa saya sibuk menyatupadukan masyarakat Melayu khususnya golongan muda yang bermasalah sambil berusaha untuk mengubah diri mereka ke arah kebaikan? "Kalaulah kerana saya memakai baju lambing naga itu salah, lebih baik haramkan apa saja yang berkaitan dengan naga serta beberapa binatang lain yang nampak ganas seperti ular dan singa. Tukarkankan dengan lambang lain seperti tikus, lintah atau kucing yang nampak comel," katanya. Tuduhan serta dakwaan seperti itu, kata Awie bukan saja cukup mengguris hatinya tetapi membuatkan dirinya berada di dalam golongan yang teraniaya.
"Janganlah buat fitnah sesuka hati. Kalau sekadar buat andaian dengan hanya mendengar cakap orang saja, cara itu tidak betul. Buat penyelidikan dulu. Lagipun, dia (Jamaluddin) tidak pernah kenal hati budi saya. Dia tidak tahu siapa saya. Jadi, bagaimana dia boleh buat segala tuduhan yang sama sekali tidak berasas ini. "Saya pun tidak mahu jawatan ayahanda itu. Tapi, kalau betul, dia mahu memecat saya daripada menjadi anggota Pekida. Dia harus hantar surat tunjuk sebab. Pekida adalah satu pertubuhan. Tak boleh main cakap mulut saja," katanya.
Menerusi tetuan Arman-Yunos Advocates & Solicitors yang diwakili peguam Md Yunos Shariff, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 40, akan memfailkan tindakan undang-undang sivil terhadap Jamaluddin di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan & Seksyen 505 kerana melaporkan berita yang berbentuk fitnah.
Manakala satu lagi tindakan undang-undang jenayah akan dibuat berdasarkan laporan polis yang dibuat Awie di Balai Polis, Kota Bharu, Kelantan pada 14 Disember lalu, jam 7.31 malam selepas membaca kenyataan fitnah yang dibuat Jamaluddin itu menerusi paparan Metro Ahad pada tarikh yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan