Tindakan sebuah NGO iaitu PEWARIS menyerahkan memorandum bantahan pertubuhan tersebut kepada pemimpin PAS berkaitan penternakan dan ladang babi di negara ini merupakan satu kemenangan moral kepada PAS. Ini membawa erti bahawa PEWARIS akhirnya bersetuju bahawa PAS adalah parti yang boleh diharapkan setelah pertubuhan tersebut mengaku gagal mendapat perhatian sewajarnya dari UMNO. Kita jangan terlalu cepat melihat tindakan PEWARIS ini mempunyai muslihat tertentu, apatah lagi disaat PAS akan menghadapi Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak berapa minggu lagi. Meskipun kita sedar bahawa undi kaum Cina di Kuala Terengganu adalah undi penentu samada PAS mampu merampas kerusi tersebut atau tidak, tetapi jangan pula kita terlalu cepat melatah dengan tindakan `di luar jangkaan' dari PEWARIS ini.
Umumnya mengetahui bahawa PEWARIS telah mula menonjol serta mendapat publisiti meluas samada di media-media mahupun di dalam blog-blog internet selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu. Sebelum ini, nama PEWARIS seperti juga PESAKA hampir tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sering dapat diperhatikan, PEWARIS sejak kebelakangan ini seolah-olah bersuara menggunakan `lidah UMNO'. Agak pelik juga apabila PEWARIS banyak `mempromosikan' dasar-dasar UMNO, tetapi UMNO gagal membantu PEWARIS berkaitan isu sekecil ini sehingga terpaksa mereka menemui pemimpin PAS pula. Memang pelik, tetapi sekali lagi diingatkan agar kita tidak mudah berfikiran negatif terhadap `nawaitu' PEWARIS ini. Kadangkala terlintas juga di hati, apakah tindakan tersebut berupa satu `perangkap' agar pengundi-pengundi Cina di Kuala Terengganu mula berfikiran serong terhadap PAS sekiranya PAS membantu PEWARIS dalam tuntutan mereka. Apa pun, niat PEWARIS tidak kita ketahui, cuma perlu kita bersangka baik terhadap mereka.
Alangkah baiknya jika PAS memberitahu kepada PEWARIS yang selama ini berjuang habis-habisan mempertahankan akta zalim ISA, agar turut bersama PAS berjuang untuk menghapuskan Akta ISA ini. Perjuangan untuk menghapuskan Akta ISA adalah lebih penting demi kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi undang-undang rimba tersebut bertentangan dengan hukum Islam. Mengapa perjuangan untuk menghapuskan Akta ISA ini tidak mendapat sokongan dari PEWARIS malahan pertubuhan tersebut secara terbuka menyatakan sokongannya untuk mempertahankan akta tersebut ? Oleh yang demikian, perlu difikirkan kembali wajarkah PAS membantu PEWARIS dalam isu remeh temeh seperti penternakan babi sedangkan dalam masa yang sama usaha PAS dan Pakatan Rakyat untuk berjuang dalam isu yang lebih besar seperti Akta ISA, isu pengajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris dan beberapa isu lain yang melibatkan kepentingan besar rakyat tidak mendapat sokongan dari PEWARIS. Sewajarnya PEWARIS turut menyokong usaha Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kerana sedang berusaha menyediakan plan atau rancangan penternakan babi secara moden tidak sepertimana yang terdapat di Melaka, contohnya.
Akhirnya, suka atau tidak, benar atau salah, fikiran kita lebih cenderung untuk mengatakan tindakan PEWARIS menghantar memorandum ini kepada PAS di saat-saat PAS menghadapi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu boleh dikatakan seperti ` ada udang di sebalik batu'. PAS hampir terperangkap dengan isu Hukum Hudud baru-baru ini, tetapi barang diingat musuh PAS tidak akan boleh tidor lena selagi rakyat tidak membenci PAS dan PAS dilihat semakin intim dengan parti-parti di dalam Pakatan Rakyat..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan