|
|
KUALA LUMPUR 6 Nov. – Kerajaan hari ini mengumumkan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman, 20 tahun lalu.
Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh (RM2 juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin masing-masing mendapat RM500,000.
Jumlah bayaran itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong sebelum ini telah mendesak kerajaan supaya mendedahkan jumlah pembayaran ex-gratia itu yang diumumkan pemberiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lalu.
Mohamed Nazri berkata, bayaran itu bukanlah jumlah yang sesuai kerana ia melibatkan harga diri dan maruah bekas hakim-hakim berkenaan.
‘‘Kerajaan tidak pernah mempertikaikan bayaran yang dibuat kepada bekas-bekas hakim itu tetapi Ahli Parlimen Wangsa Maju (Wee Choo Keong, PKR-Wangsa Maju) yang mempertikaikan jumlah bayaran tersebut.
‘‘Sebenarnya kita tidak boleh meletak berapa harga yang sebenarnya patut dibayar sebab ia soal harga diri, mana boleh letak harga, tetapi kita bayar dan anggap jumlah tersebut sesuai,” jelasnya.
Nazri menjawab celahan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang menyatakan bayaran itu terlalu rendah berbanding jawatan Salleh yang merupakan Ketua Hakim Negara adalah satu jawatan lebih penting daripada Perdana Menteri.
Jawapan Nazri itu dibantah keras oleh Choo Keong yang turut mencelah dengan menyatakan ia adalah terlalu tinggi memandangkan bekas hakim-hakim itu menerima bayaran pencen.
‘‘Apa yang dikatakan oleh Choo Keong itu mempertikaikan jumlah bayaran. Gobalakrisnan menyatakan terlalu rendah dan Ahli Parlimen Wangsa Maju pula menyatakan terlalu tinggi, jadi tidak ada kesepakatan dalam jumlah bayaran yang harus diberikan, maka tindakan kerajaan adalah betul,” katanya.
Beliau berkata, lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), George Seah (RM5,916.90) Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6,508.59) dan Azmi (RM5,916.90).
Nazri menambah, apa jua bentuk bayaran kepada bekas hakim-hakim itu, ia tidak bermaksud bahawa kerajaan bersalah.
Pembayaran ex-gratia itu dibuat sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim berkenaan yang terlibat dalam krisis kehakiman dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.
Ex-gratia tersebut telah diserahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim pada Jun lalu kepada hakim-hakim terlibat.
Bagaimanapun Zaid enggan mendedahkan jumlahnya atas alasan permintaan oleh hakim berkenaan sendiri. Zaid meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 September lalu.
Nazri menjelaskan, bekas hakim-hakim itu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang telah bersidang berhubung kes tersebut dan bukan dipecat oleh kerajaan.
“Sekiranya bekas hakim-hakim itu dipecat mereka tidak layak mendapat pencen tetapi kerana telah ditamatkan perkhidmatan, maka mereka layak dibayar pencen mengikut Akta Pencen,” katanya.
Nazri juga memaklumkan, kerajaan bersedia untuk membentuk panel hakim lain bagi menilai semula kes bekas hakim-hakim terbabit sekiranya terdapat fakta baru.
‘‘Saya pegang apa yang dikatakan sebelum ini bahawa kerajaan bersedia untuk menubuhkan sebuah panel lain untuk menilai kes bekas hakim-hakim tersebut sekiranya terdapat bukti-bukti baru, tetapi pada masa ini tidak ada maka tidak perlu kerajaan tubuhkan panel baru,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan