Ahad, 30 November 2008

Minum arak antara tujuh dosa besar

ADA bermacam-macam keburukan meminum arak, namun manusia terus meneguk ‘air kencing syaitan’ itu kerana kononnya ia memberi nikmat pada peminumnya.Cakaplah apa saja seperti apabila diminum dengan banyak, arak boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang meresap dengan cepat ke dalam bahagian tubuh manusia terutama jantung dan buah pinggang, boleh menjadikan sesak nafas atau mengakibatkan kematian mengejut akibat tekanan kuat kepada hati dan jantung, semua amaran itu tidak mampu menakutkan peminum arak.

Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Termizi meriwayatkan hadis baginda bermaksud: “Sesungguhnya khamar (arak) itu bukanlah ubat tetapi ia penyakit. Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat. Dan menjadikan buat kamu penyakit dan ubat, maka hendaklah kamu berubat tetapi jangan kamu berubat dengan yang haram.
”Walaupun peringatan demi peringatan diberikan, ramai umat Islam mengambil minuman itu di atas pelbagai alasan, kononnya untuk meraikan sesuatu peristiwa, bergembira di pusat hiburan, melupakan seketika masalah, berubat, gaya dan prestij, terikut-ikut dengan orang lain atau sekadar minum suka-suka.Lebih malang lagi, budaya minum arak di kalangan umat Islam semakin berleluasa, bebas dan terbuka di negara ini yang menjunjung Islam sebagai agama rasmi.

Banyak juga umat Islam yang menjual atau bekerja di premis yang menjual arak sedangkan Rasulullah melaknati arak itu kepada sesiapa saja “Yang memerahnya, yang diperah untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawa kepadanya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang membelinya dan yang dibelikan untuknya.” (riwayat Termizi dan Ibnu Majah).

Hakikatnya, haramnya arak itu adalah satu larangan besar dalam Islam hingga arak itu dianggap satu daripada tujuh dosa besar. Malah, umat Islam juga dilarang sama sekali untuk duduk dalam satu majlis yang ada menghidangkan arak.
Imam Ahmad meriwayatkan sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada suatu hidangan yang ada di situ minuman khamar.”Pada zaman yang serba maju ini, semakin ramai umat Islam yang melanggar batasan termasuk dalam soal makan minum masing-masing. Kita seolah-olah lupa bahawa manusia diberikan pelbagai pilihan minuman yang jauh lebih enak dan berkhasiat.

Malangnya, masih ramai antara kita yang memilih untuk minum minuman keras yang jelas membinasakan peminumnya.Mungkin sudah sampai masanya bagi mereka yang minum arak untuk berhenti dan mereka yang tidak minumnya mengingatkan diri sendiri, keluarga, saudara-mara dan rakan taulan bahawa arak itu mesti dibenci kerana sesungguhnya ia adalah haram dan membinasakan.

Ahad, 23 November 2008

Asia Selatan lubuk ular berbisa

Kira-kira 20,000 orang mati dipatuk reptilia setahun SEBUT saja ular pasti ramai yang bukan saja berasa geli, tetapi tidak kurang yang gerun dengan reptilia ini, khususnya yang jenis berbisa kerana mampu membunuh dengan cuma satu patukan saja.
Namun, tahukah anda di pelusuk mana dunia yang menjadi lubuk maut reptilia ini? Pasti ramai yang menuding ke arah Amerika Selatan, khususnya di hutan belantara Amazon yang diketahui antara hutan tertua dengan pelbagai spesies berbisa menjadikan kawasan ini habitatnya.

Andai itu jawapan anda, terbukti sangkaan anda meleset sama sekali. Ini disebabkan lubuk ular itu terletak di kawasan yang amat hampir dengan kita iaitu di kawasan Asia Selatan. Inilah hasil laporan kajian terbaru ke atas 68 negara yang menunjukkan Asia Selatan menjadi lubuk patukan ular tertinggi di dunia iaitu kira-kira 421,000 orang dipatuk setiap tahun!
Lebih menakutkan, patukan itu meragut kira-kira 20,000 nyawa setahun, kata kajian sekumpulan penyelidik Sri Lanka yang disiarkan edisi terbaru Public Library of Science Medicine, media yang berpejabat di Amerika Syarikat. India yang didiami lebih satu bilion penduduk, menjadi negara yang mencatatkan kes patukan maut atau biasa yang tertinggi di dunia iaitu 80,000 kes setahun. Daripada jumlah itu, 11,000 kes menyebabkan maut. Sri Lanka pula menduduki tempat kedua dengan 33,000 orang dipatuk ular setahun.
Anehnya, sebahagian besar mangsa adalah lelaki. Ini mungkin berkaitan dengan faktor golongan itu yang lebih ramai bekerja mencari rezeki berbanding kaum wanita. Saintis Universiti Kelaniya di Sri Lanka, Janaka De Silva yang mengetuai penyelidikan itu bagaimanapun menegaskan bilangan 421,000 kes patukan ular itu hanyalah anggaran kasar dan jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

“Ini disebabkan kes dipatuk ular berbeza mengikut faktor geografi dan bermusim dan tidak ramai yang membuat laporan rasmi apabila menjadi mangsa. “Lebih sukar lagi, rawatan bagi mengatasi kes berkenaan juga berbeza antara perubatan moden, tradisional serta amalan masyarakat setempat itu sendiri,” katanya. De Silva berkata, ancaman dan impak sebenar kesihatan akibat dipatuk ular itu juga tidak diketahui. Ini sekali gus menyukarkan pegawai kesihatan umum memaksimumkan kaedah pencegahan dan rawatan akibat dipatuk ular di negara masing-masing.
Namun sejauh manakah daripada kita yang benar-benar mengenali reptilia yang pada bila-bila masa dan secara tiba-tiba boleh muncul di kawasan belukar berhampiran rumah atau sama-sama berenang ketika mengharungi banjir? Percaya atau tidak, ada kira-kira 3,000 spesies ular yang menghuni dunia ketika ini dan 600 daripadanya adalah jenis berbisa. Ia boleh wujud di mana-mana di dunia, dari Britain, Afrika hinggalah ke Australia, kecuali di Antartika yang diketahui mempunyai cuaca sejuk yang amat ekstrim. Ini disebabkan haiwan berdarah sejuk itu tidak boleh hidup di kawasan sejuk.
Ular berkongsi spesies keluarga ‘Squamata’ seperti biawak dan disifatkan reptilia paling muda. Ia melalui proses evolusi yang menyaksikannya kehilangan kaki seperti yang kelihatan sekarang.
Ular jenis Ananconda Hijau dikatakan yang terbesar iaitu panjangnya mencecah 8.8 meter dan beratnya, 227 kilogram. Lebarnya pula adalah kira-kira 30 sentimeter dan ia hidup di kawasan sekitar lembah Sungai Amazon dan Orinoco. Pada Ogos lalu, dunia dikejutkan dengan penemuan apa disifatkan spesies ular terkecil dunia di Kepulauan Barbados.
Saiznya tidak melebihi cacing tanah dengan panjangnya kira-kira 10 sentimeter. Ular berwarna perang itu bagaimanapun memakan mangsa dan disenaraikan sebagai tidak berbisa. Hakikatnya, baik ular tedung yang diketahui paling berbisa dan anaconda si gergasi ular sama ada yang boleh dilihat hinggalah ke dalam filem, reptilia ini terlalu rapat dengan manusia.
Ada yang menjadikannya peliharaan, tidak kurang yang menganggapnya sebagai musuh berikutan patukan bisa serta kuasa belitan si ular sawa yang boleh membawa maut. Apa yang pasti, setiap kali ada berita mengenai ular, ia pasti menarik minat ramai yang mahu mengenali reptilia yang gaya gerakannya kelihatan menarik tetapi mampu meragut nyawa dengan hanya satu patukan.
INFO Menarik mengenai ulau

Ulau terbesar jenis Anaconda Hijau yang panjangnya boleh mencecah 8.8 meter Ular terkecil di dunia ditemui di Kepulauan Barbados, dengan panjangnya kira-kira 10 sentimeter Boleh hidup tanpa sebarang makanan selama beberapa hari hingga beberapa bulan kerana kadar metaboliknya yang rendah, selepas sekali makan Menjadi semakin aktif apabila cuaca bertambah panas Bisa ular digunakan bagi menghasilkan anti bisa dan ubat penyelamat nyawa yang lain Sukar membezakan ular jantan dan betina
sembur : spisis sama , tugas berbeza

Jumaat, 21 November 2008

PENGKID - Dakyah musuh Islam -Malaysiakini

PENGKID adalah merujuk kepada remaja perempuan yang mempunyai penampilan seperti lelaki, termasuk tingkah laku, sikap dan tindakan, bahkan kecenderungan cinta dan tarikan seksualnya adalah sejenis.Golongan ini cuba menonjolkan identiti jantina berlawanan dengan norma biologi, moral dan sosial kewanitaan yang mereka miliki.

Fenomena sosial biasanya dapat dilihat melalui beberapa ciri peribadi, antaranya cara berpakaian seperti lelaki, imej pada diri misalnya berambut pendek seperti lelaki dan gemar melakukan aktiviti yang selalu dilakukan golongan lelaki.Banyak sebab yang mendorong seseorang itu terjebak dengan gejala terbabit, seperti kemahuan dari dalam diri yang ingin menjadi seorang serba boleh, bebas melakukan apa saja yang digemari dan mahu mencari kelainan.Ada pihak mendakwa, sesetengah mereka yang terbabit dengan gejala pengkid disebabkan kecenderungan dari usia kanak-kanak yang lebih berminat kepada perempuan dan persekitaran mereka dibesarkan.

Fenomena berlaku atas keinginan dan kehendak diri iaitu perhubungan cinta dan seksual seorang perempuan bersama perempuan lain, dengan alasan hanya perempuan mengetahui keinginan perempuan dan menjanjikan kepuasan yang lebih. Golongan subbudaya ini dikatakan cepat bertukar pasangan dan ada di kalangan mereka mempunyai ramai pasangan dalam satu masa dan yang dicari hanya kepuasan nafsu semata-mata.Pengkid dipanggil juga 'tomboi' kerana kedua-duanya membabitkan makna yang sama iaitu remaja perempuan yang berkelakuan seperti lelaki.Tomboi atau pengkid pula dikatakan berhubung kait dengan lesbian. Ini kerana tomboi atau pengkid akan menunjukkan identiti lesbian apabila usia semakin meniti kedewasaan.

Lesbian adalah perkataan Inggeris, iaitu wanita yang mempunyai tarikan seksual atau romantik terhadap wanita lain. Penggunaan istilah ini dikatakan seawal 1870.Perkataan lesbian daripada kata sifat merujuk kepada pulau Lesbos di Greek. Lesbos pada zaman silam dikatakan ada hubung kait dengan wanita homoseksual kerana Sappho (625-570 Sebelum Masihi), pemuisi di pulau itu ada menggambarkan tarikan seksual seorang wanita kepada wanita lain.Hubungan lesbian juga menjadi satu kebiasaan di kalangan wanita pada zaman Sparta dulu di Greek.

Ahli sejarah Romawi, Plutarch menyatakan: "Cinta sangat disanjungi di kalangan mereka, remaja perempuan juga menjadi objek berahi bagi wanita bangsawan."Ahli seni lama Greek Lucian menggunakan 'lesbian' sebagai kata sifat untuk merujuk kepada wanita homoseksual tetapi istilah yang selalu digunakan oleh penulis silam memberi makna sama ada wanita berkelakuan lelaki atau wanita yang ada hubungan seks dengan wanita lain. Dari tahun 1920-an, lesbian menjadi istilah yang biasa digunakan. Sesetengah wanita yang terbabit dalam hubungan jantina sama jenis tidak menampilkan imej dirinya lesbian tetapi sebagai biseksual, iaitu suka kepada kedua-dua jantina, lelaki dan wanita serta sikap ganjil yang lain.

Islam dari awal mengecam keperibadian buruk seperti itu, lebih-lebih lagi apabila ia bertentangan dengan fitrah semula jadi manusia.Hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Ashabus Sunan dari Ibnu Abbas, katanya (maksud): "Rasulullah s.a.w melaknati kaum lelaki yang menyerupai wanita dan kaum wanita yang menyerupai lelaki.Dalam hadis diriwayatkan Bukhari lagi: "Rasulullah s.a.w melaknati pondan-pondan dari lelaki dan juga wanita-wanita yang menyerupai lelaki."Ahmad dan at-Tabrani meriwayatkan daripada seorang lelaki dari suku Huzail, katanya: "Saya telah melihat Abdullah bin Amru bin al-Ash yang rumahnya di tanah halal sedang masjidnya pula di tanah haram, katanya:Ketika aku berada di sisinya, dia terlihat Ummi Said binti Abu Jahal membawa busur dan panah dan dia berjalan berlagak seperti lelaki, maka bertanya Abdullah; siapa wanita ini? Jawabku, Ummi Said binti Abu Jahal. Maka kata Abdullah: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bukan dari golongan kita orang yang menyerupai lelaki dari kaum wanita dan tidak juga orang yang menyerupai wanita dari kaum lelaki.

"Perubahan budaya sudah lama berlaku di Barat, malah kini ia berada pada tahap kritikal kerana dalam sesetengah masyarakatnya membenarkan perhubungan romantis di antara sesama jantina, bagi menzahirkan kehidupan mereka lebih bebas. Pusat Penyelidikan Kesihatan Kebangsaan Kerajaan Amerika Syarikat ada melakukan penyelidikan dalam tahun 2002 dan hasilnya dikeluarkan dalam satu laporan 2005 membabitkan tingkah laku seksual lelaki dan wanita berusia 15-44 tahun di negara kuasa besar itu.Keputusannya menunjukkan di antara wanita berusia 15-44, sebanyak 4.4 peratus dilaporkan mempunyai pengalaman hubungan seks dengan wanita yang lain dalam tempoh dua belas bulan sebelum itu. Apabila wanita berusia 15-44 terbabit diajukan pertanyaan: "Apakah anda pernah terbabit dalam hubungan seks dengan wanita lain", sebanyak 11 peratus menjawab 'ya.

'Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 23 Oktober 2008 mengharamkan perbuatan perempuan yang membuat penampilan seperti lelaki atau dikenali sebagai pengkid. Sesetengah pihak cuba bersuara untuk mempertahankan hubungan di luar fitrah sesama wanita, dengan alasan suatu kebebasan dan kononnya prinsip sama rata bagi golongan terbabit, sedangkan ia jauh terpesong daripada fitrah kemanusiaan dan terang-terang merosakkan imej wanita.Walaupun segelintir mereka yang terbabit dengan nafsu songsang itu mendakwa mendapat kepuasan, ketenangan dan kedamaian, tetapi ia sebenarnya ketenangan palsu, malah lebih kepada kecelaruan. Semuanya tidak lebih daripada kebejatan sosial yang perlu dijauhi.

Abdullah Nasih Ulwan melalui buku Pendidikan Anak-anak Dalam Islam menyatakan, selepas Perang Salib-Kristian yang mengambil tempoh dua kurun, golongan terbabit berusaha sedaya upaya menjatuhkan orang Islam, antaranya merosakkan imej wanita Islam dengan menonjolkan kepentingan gerakan pembebasan wanita.Malah, mereka menimbulkan perdebatan membabitkan hak dan persamaan mereka dengan lelaki, mencacatkan undang-undang Islam mengenai perkara poligami, yang semua itu untuk membangkitkan kekeliruan dan menimbulkan syak terhadap kesesuaian syariat Islam dan amalannya dalam kehidupan ini.Kaum Yahudi juga yang mengisytiharkan mereka memahami teori Freud dengan menafsirkan segala sesuatu dari hal perilaku manusia itu melalui jalan naluri seks dan kebebasan dalam jalan syahwat dan kelazatan.Mereka mengemukakan ideologi Nietche yang menolak akhlak dengan membolehkan setiap manusia melakukan sesuka hatinya asalkan mereka senang walaupun menarik kepada pembunuhan dan pengaliran darah.

Al-Quran menempelak mereka yang mengikut nafsu: "Adakah engkau nampak orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami, Mereka hanya seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi." (al-Furqan: 43-44) Sayid Qutb dan Abul Ala al-Maududi dalam Manhaj Hidup Muslim ada menyatakan: "Bila anda menyerahkan diri kepada nafsu yang jahil dan menyeleweng itu tentu ia akan menyeret anda menjadi orang yang hanya mementingkan diri sendiri, menjadi orang yang berakhlak bejat dan rosak, hidup anda akan hancur di dunia dan di akhirat nanti."

Jumaat, 14 November 2008

Kembar lima jadi kebanggaan keluarga


MELAKA - Biarpun memiliki rupa paras berbeza, lima beradik kembar tidak seiras tetap berkongsi kepintaran yang sama. Ini terbukti apabila tiga daripada mereka, Alya Zulaikha, Muhammad Azfar dan Muhammad Azhar Nuradlan memperoleh 5A dalam UPSR 2008 yang diumumkan semalam.Dua lagi beradik kembar itu, Muhammad Azzam dan Alya Su'aidah pula mendapat 4A dan 1B.

Walaupun kembar, mereka lebih cenderung belajar bersendirian daripada secara berkumpulan."Cuma apabila ada perkara tidak faham, kami rujuk antara satu sama lain," kata Alya Zulaikha ketika ditemui selepas menerima slip keputusan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang di sini semalam.Alya Zulaikha dan dua lagi adik kembarnya, Muhammad Azfar dan Muhammad Azhar adalah antara 56 murid sekolah itu yang memperoleh 5A.


sembur sikit : tahniah dari ulautedong

Khamis, 13 November 2008

Bekas MB saman MB Perak

IPOH – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali melalui firma guaman, Shafee & Co. telah mengemukakan surat tuntutan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam. Turut menerima surat tuntutan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air, Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Tuntutan tersebut dibuat berikutan kenyataan media kedua-dua pemimpin kanan kerajaan negeri Perak itu yang mengaitkan Mohd. Tajol Rosli terlibat dalam konspirasi politik berkenaan kes penangkapan dua exco kerajaan negeri ini oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak pada Ogos lalu.


Mohammad Nizar dan Koo Ham juga mendakwa tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu sebagai salah satu usahanya untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang kononnya berlaku pada 31 Ogos lalu.Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu itu bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan mereka yang disifatkan berniat jahat dan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai ahli politik.

Menerusi surat tuntutan itu, Mohd. Tajol Rosli menghendaki Mohammad Nizar dan Koo Ham menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepadanya dalam masa tujuh hari atau tindakan undang-undang bakal diambil.

sembur sikit : dah tak ada isu,

Ulautedong melengkau........

Isnin, 10 November 2008

Mesyuarat jadi gelanggang 'tinju' - Malaysiakini

SEREMBAN - Adegan tolak menolak, bertikam lidah dan bertumbuk mewarnai persidangan perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Kelab Golf Tuanku Ja'afar di sini semalam yang berakhir dengan dua orang cedera.

Mesyuarat yang mulanya lancar itu bertukar tegang setelah Ketua UMNO Bahagian tersebut, Datuk Ishak Ismail selesai berucap dan pengerusi majlis menyerahkan tugas mengendalikan mesyuarat kepada Timbalan Pengerusi Tetap UMNO bahagian itu, Othman Senara.Sebelum Othman sempat bercakap, Ketua UMNO cawangan Sikamat, Datuk Md. Yusop Harmain Shah bangun dan terus menyatakan pendirian tidak puas hati dengan sembilan cawangan dalam bahagian tersebut.

Ini kerana menurut Yusop, sebahagian cawangan itu telah diarah bermesyuarat tetapi tidak diberikan status perwakilan dan ditempatkan di bangku pemerhati. Ekoran itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantau UMNO Bahagian Seremban, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik memberi penjelasan mengenai kekeliruan yang berlaku dan berkata, MT telah memutuskan mana-mana cawangan yang belum bermesyuarat atau mempunyai masalah, ketika UMNO Bahagian sedang bersidang, maka ia diletakkan dalam status pemerhati.

Ia disusuli suasana tegang hanya selepas 20 minit mesyuarat dimulakan apabila salah seorang ahli enggan balik ke tempat duduk walaupun diarahkan oleh Othman. Apabila seorang ahli jawatankuasa keselamatan cuba meminta lelaki itu duduk, beberapa orang penyokongnya bangun dan menimbulkan kekecohan yang menyaksikan adegan tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk. Ketua UMNO cawangan Jalan Kuala Pilah, Abd. Halim Lokman telah membuat laporan di Balai Polis Senawang kerana mendakwa telah dipukul.

sumber : kosmo

sembur sikit : inilah realiti parti nyanyuk... sesama sendiri pun gaduh, macam mana nak cakap perpaduan melayu...pooooorah

Ahad, 9 November 2008

Alahai........konon bersih

Politik wang memalukan

MUAR 8 Nov. - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan jumlah lebih 900 aduan yang diterima oleh Lembaga Disiplin parti semasa pemilihan ketika ini sebagai amat memalukan dan perlu ditangani segera bagi memulihkan imej parti.

Menurutnya, jumlah aduan yang tinggi itu bukan sahaja menjatuhkan maruah semua ahli parti, malah ia bakal mewujudkan pandangan negatif bahawa ahli UMNO hanya mementingkan diri sendiri hingga sanggup menggadaikan maruah dan terbabit dalam rasuah politik.

Beliau turut berasa malu dan kesal kerana rasuah politik menyebabkan ahli-ahli parti mungkin beralih arah dalam memilih pucuk pimpinan parti daripada calon berkelayakan dan berwibawa kepada calon yang lebih banyak menawarkan wang.

"Sebagai pemimpin dalam UMNO, saya cukup bimbang apabila membaca kenyataan Lembaga Disiplin parti semalam bahawa bilangan aduan tentang politik wang yang diterima begitu banyak, malah lebih tinggi daripada pemilihan sebelum ini.

"Saya malu kerana pendedahan ini seolah-olah menunjukkan UMNO gagal menangani politik wang dan ahli-ahli kita lebih mementingkan soal perut, wang, ongkos dan sogokan dalam memilih pemimpin.

"Amalan politik wang ini perlu kita pandang serius kerana kita tidak mahu ahli nanti akan beralih daripada menilai pemimpin berdasarkan kepada keupayaannya kepada calon yang memberi wang yang banyak," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyerahan rumah Program Rumah Murni Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) di Kompleks Seri Pekembar Pagoh dekat sini hari ini.

sembur sikit : tak usahlah nak tunjuk bersih. Kalau tak rasuah @ politik wang tak le nama umno. Sebenarnya bayak lagi yang boleh dikaitkan dengan umno, bukan saja politik wang, politik tanah, politik projek, politik pompuan pun ada.. ye tak?

Jumaat, 7 November 2008

RM10.5j bayar 6 hakim




KUALA LUMPUR 6 Nov. – Kerajaan hari ini mengumumkan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman, 20 tahun lalu.

Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh (RM2 juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin masing-masing mendapat RM500,000.

Jumlah bayaran itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong sebelum ini telah mendesak kerajaan supaya mendedahkan jumlah pembayaran ex-gratia itu yang diumumkan pemberiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lalu.

Mohamed Nazri berkata, bayaran itu bukanlah jumlah yang sesuai kerana ia melibatkan harga diri dan maruah bekas hakim-hakim berkenaan.

‘‘Kerajaan tidak pernah mempertikaikan bayaran yang dibuat kepada bekas-bekas hakim itu tetapi Ahli Parlimen Wangsa Maju (Wee Choo Keong, PKR-Wangsa Maju) yang mempertikaikan jumlah bayaran tersebut.

‘‘Sebenarnya kita tidak boleh meletak berapa harga yang sebenarnya patut dibayar sebab ia soal harga diri, mana boleh letak harga, tetapi kita bayar dan anggap jumlah tersebut sesuai,” jelasnya.

Nazri menjawab celahan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang menyatakan bayaran itu terlalu rendah berbanding jawatan Salleh yang merupakan Ketua Hakim Negara adalah satu jawatan lebih penting daripada Perdana Menteri.

Jawapan Nazri itu dibantah keras oleh Choo Keong yang turut mencelah dengan menyatakan ia adalah terlalu tinggi memandangkan bekas hakim-hakim itu menerima bayaran pencen.

‘‘Apa yang dikatakan oleh Choo Keong itu mempertikaikan jumlah bayaran. Gobalakrisnan menyatakan terlalu rendah dan Ahli Parlimen Wangsa Maju pula menyatakan terlalu tinggi, jadi tidak ada kesepakatan dalam jumlah bayaran yang harus diberikan, maka tindakan kerajaan adalah betul,” katanya.

Beliau berkata, lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), George Seah (RM5,916.90) Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6,508.59) dan Azmi (RM5,916.90).

Nazri menambah, apa jua bentuk bayaran kepada bekas hakim-hakim itu, ia tidak bermaksud bahawa kerajaan bersalah.

Pembayaran ex-gratia itu dibuat sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim berkenaan yang terlibat dalam krisis kehakiman dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.

Ex-gratia tersebut telah diserahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim pada Jun lalu kepada hakim-hakim terlibat.

Bagaimanapun Zaid enggan mendedahkan jumlahnya atas alasan permintaan oleh hakim berkenaan sendiri. Zaid meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 September lalu.

Nazri menjelaskan, bekas hakim-hakim itu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang telah bersidang berhubung kes tersebut dan bukan dipecat oleh kerajaan.

“Sekiranya bekas hakim-hakim itu dipecat mereka tidak layak mendapat pencen tetapi kerana telah ditamatkan perkhidmatan, maka mereka layak dibayar pencen mengikut Akta Pencen,” katanya.

Nazri juga memaklumkan, kerajaan bersedia untuk membentuk panel hakim lain bagi menilai semula kes bekas hakim-hakim terbabit sekiranya terdapat fakta baru.

‘‘Saya pegang apa yang dikatakan sebelum ini bahawa kerajaan bersedia untuk menubuhkan sebuah panel lain untuk menilai kes bekas hakim-hakim tersebut sekiranya terdapat bukti-bukti baru, tetapi pada masa ini tidak ada maka tidak perlu kerajaan tubuhkan panel baru,” katanya

Rabu, 5 November 2008

Nenek menangis ditahan merokok - Malaysiakini

GEORGETOWN: Seorang nenek berusia 58 tahun menangis teresak-esak meminta dilepaskan setelah ditahan kerana merokok di tempat awam dalam operasi Jabatan Kesihatan Pinang selama tiga jam di sekitar Komtar, pagi ini.

Wanita berkenaan, yang ketika itu bersama seorang cucu lelakinya berusia lapan tahun, kelihatan terkejut ketika ditahan pasukan penguatkuasa di Terminal Bas Komtar di sini, dan terus menangis sambil merayu meminta supaya dilepaskan. Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan negeri, Idris Mohamad, berkata mereka terpaksa mengeluarkan kompaun kepada wanita itu kerana kesalhan melanggar peraturan merokok di tempat awam.

“Kita turut mengeluarkan 14 kompaun akepada mereka yang melanggar peraturan merokok di tempat awam dalam operasi pagi ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini. Idris berkata kesemua mereka dikenakan kompaun RM200 dalam tempoh 14 hari bagi mengelak dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, operasi itu bertujuan mengingatkan orang ramai mengenai peraturan larangan merokok di tempat awam. “Kita menjalankan operasi seperti ini secara berkala kerana kita mahu membendung budaya merokok di tempat awam secara menyeluruh supaya matlamat mewujudkan zon bebas merokok dapat dilaksanakan,” kata Idris yang mengetuai operasi membabitkan 30 anggota penguatkuasa jabatan itu. Sepanjang tahun ini jabatan itu mengeluarkan 621 kompaun bagi kesalahan merokok di tempat awam. -

Sumber :Bernama

Sembur sikit :Ni nenek sapa lah agaknya... papan tanda dah bermacam bahasa pun tak faham jugak... nenek datang dari mana ya ? jawa timur ke?

Selasa, 4 November 2008

Gantikan Rosmah di Unisel

Pemuda Pakatan Rakyat menggesa kerajaan Selangor menggantikan isteri timbalan perdana menteri, Rosmah Mansor sebagai canselor Universiti Industri Selangor (Unisel).

rosmah mansor and uniselUniversiti milik penuh kerajaan negeri itu melantik isteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai canselor pertamanya pada Ogos 2006.

Unisel, yang ditubuhkan pada 1999, diuruskan oleh Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB) yang dipengerusikan oleh menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bersama Pemuda PAS Selangor dan DAP Selangor akan menyerahkan surat bantahan kepada Abdul Khalid esok.

Dalam surat bantahan itu, Pemuda Pakatan mahu Unisel mencari seorang calon canselor yang "lebih bermoral dan berintegriti."

sembur sikit : aku sokong 101 peratus , lagi pun makcik tu tak pernah belajau sampai U pun, tidak pun bagi lah dia jadi canselor bagi sekolah tadika kemas semalaysia

Isnin, 3 November 2008

Lawak ke ni?

Ada cubaan sekat edaran Utusan Malaysia - Samsol

BATU PAHAT 2 Nov. - Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali hari ini mendedahkan wujudnya usaha pihak tertentu yang cuba menyekat akhbar Utusan Malaysia daripada diedarkan di sebuah pekan di negeri ini.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai langkah pihak berkenaan untuk menghalang orang ramai daripada terus melanggan akhbar yang menjadi wadah perjuangan bangsa Melayu di negara ini.

"Saya menerima aduan mengenai adanya tindakan cuba menggagalkan taburan Utusan Malaysia ke peringkat akar umbi dan akhbar berkenaan juga tidak boleh diperoleh di tengah-tengah pekan Parit Yaani, Batu Pahat," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ayer Hitam di sini.

Menurutnya, UMNO bahagian tersebut tidak dapat menerima sama sekali tindakan tersebut kerana ia boleh mengakibatkan tulisan Jawi yang menjadi sisipan akhbar Utusan Malaysia setiap Isnin berkubur.

"Hanya menerusi akhbar Utusan Malaysia sahaja kita dapat terus memartabatkan tulisan Jawi di negara ini menerusi Utusan Melayu Mingguan," katanya.

Ekoran itu, Samsol Bari berkata, seperti beberapa bahagian lain, UMNO Bahagian Ayer Hitam akan berjuang mempertahankan akhbar Utusan Malaysia agar ia terus menjadi wadah dan lidah perjuangan bangsa Melayu.

Mengenai kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bahawa konsep ketuanan Melayu adalah satu kegagalan yang membawa keburukan kepada kaum lain, beliau menyifatkannya sebagai satu kenyataan yang mengecewakan.

"Saya tidak tahu sama ada ia berdasarkan kefahaman atau sentimen dan emosi atau sekadar mencari populariti," katanya.

Menurutnya, keistimewaan Melayu yang dinikmati sekarang termaktub dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan dan bukan menggambarkan ketuanan berkonsepkan seorang pekerja dan tuannya.

Justeru, katanya, segala kepincangan dan kekurangan yang timbul perlu diatasi dan dibaiki bersama-sama dalam kelompok yang ramai.

Pada mesyuarat tersebut, UMNO Bahagian Ayer Hitam mencalonkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bertanding jawatan Presiden dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pula bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Bagi tiga kerusi Naib Presiden, bahagian tersebut mencalonkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Dalam pada itu, Samsol Bari mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam apabila menang tanpa bertanding pada mesyuarat perwakilan tersebut.

Turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Ketua UMNO bahagian, Mohd. Kamal Harun dan naibnya, Junaidi Kamari.

sembur sikit : sapelah punya kije menyekat pengedaran surat kabau pengampu no 1 dimalaysia ni....dato tolong le bagi tau sape dia orang nye atau pun sekarang ni surat kabau utusan telah dilebel sebagai "Untuk ahli umno sahaja"...patut pun orang bukan ahli tak boleh baca...he.he.

Razak boleh ditahan semula: Karpal -Malaysiakini

PUTRAJAYA: Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda menghadapi kemungkinan ditahan semula dan direman sementara menunggu keputusan sekiranya pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap pembebasannya, kata peguam Karpal Singh hari ini.

Karpal Singh, yang menjadi peguam pemerhati keluarga wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu berkata, pendakwaan boleh membuat permohonan itu mengikut Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menghalang Abdul Razak daripada melarikan diri.

Katanya peruntukan itu membenarkan pendakwaan memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Abdul Razak dan meremannya sementara menunggu keputusan rayuan itu.

sumber: Beritaharian

Ahad, 2 November 2008

3 pengebom Bali jalani hukuman mati -Malaysiakini

JAKARTA: Tiga militan yang terbabit dalam kejadian pengeboman Bali, yang berlaku lima tahun lalu, dijangka menjalani hukuman mati dalam waktu terdekat.Sehubungan itu pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan tahap keselamatan bimbang pelaksanaan hukuman akan mencetuskan kekacauan.Keputusan pelaksanaan kepada mereka yang terdiri daripada Imam Samudra dan adik-beradik, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron yang merupakan anggota Jemaah Islamiah (JI), sudah dimaklumkan malam kelmarin.

"Keselamatan lebih ketat berbanding sebelum ini, lebih ramai anggota polis ditempatkan, oleh itu masa pelaksanaan hukuman semakin dekat," kata jurucakap Peguam Negara, Jasman Pandjaitan semalam.Justeru ketiga-tiga mereka telah ditempatkan di bilik pengasingan.Minggu lalu kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa hukuman ke atas mereka akan dijalankan awal bulan ini.



Semua hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak dan biasanya dilakukan di lokasi dan waktu yang tidak dinyatakan.Siri rayuan mereka telah pun ditolak oleh mahkamah.Malah, kesemua mereka sebelum ini enggan memohon pengampunan daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono selepas Mahkamah Agung menolak rayuan terakhir mereka.

Hukuman itu dilaksanakan setelah lima tahun Imam Samudra, Amrozi dan Ali didapati bersalah kerana melancarkan serangan bom ke atas kelab malam di Kuta, Bali yang meragut 202 nyawa pada Oktober 2002.Mereka kini ditahan di penjara yang dikawal ketat di Pulau Nusakembangan iaitu tempat sama hukuman mati akan dijalankan. Ketiga-tiga mereka bertegas untuk mati syahid kerana menganggap apa yang dilakukan oleh mereka sebagai suatu jihad.

Dalam pada itu, laporan AFP menyebut, Ali Fauzi, adik kepada Amrozi dan Mukhlas akan melawat kedua-dua mereka pagi esok, sebagai "kunjungan biasa" di Penjara Nusakambangan.Pagi ini seorang lagi abangnya telah pergi ke Bali untuk menyerahkan surat rayuan menghalang hukuman daripada dilaksanakan, katanya.

sumber : mstar

Sabtu, 1 November 2008

Pas sokong debat terbuka nilai bakal pemimpin-Malaysiakini

KOTA BAHARU: Ketika syor debat terbuka terus menjadi polemik di kalangan pemimpin Umno sekarang, Pas pula menyambut baik saranan diadakan debat.

Sehubungan itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap ia diadakan secara terbuka bagi menilai kemampuan seseorang pemimpin yang akan memerintah negara masa depan. Kata beliau, dalam Islam, forum sedemikian sangat digalakkan kerana memberi peluang kepada rakyat menilai sejauh mana kemampuan seseorang pemimpin, keilmuan serta ketaqwaannya.

"Dalam gerakan Islam kita boleh dan berhak memilih seorang pemimpin sama ada yang bertaqwa kepada Allah, latar belakang serta kemampuan dalam ilmu pengentahuan," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Graduasi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan di sini semalam.

Nik Aziz berkata, umat Islam berhak memilih pemimpin berdasarkan latar belakang dan kemampuannya.

SUMBER:BERNAMA

Hukum 'menepung tawar'-malaysiakini

Soalan??
BAGI sesetengah pihak, apabila mereka ingin menduduki premis baru, sama ada bangunan atau rumah, mereka melakukan upacara menepung tawar terlebih dulu seperti merenjis air mawar dan sebagainya. Apakah pendapat Dr dalam perkara ini? MAN,Melaka.

Jawapan
ANTARA upacara atau istiadat dalam masyarakat Melayu yang mempunyai unsur kesyirikan yang patuh dijauhi ialah majlis menepung tawar yang biasanya dilakukan untuk pengantin baru, memasuki rumah baru, orang terlepas daripada bahaya atau sakit teruk dan baru dinaikkan pangkat.

Ia biasanya dilakukan dengan semangkuk air yang dicampur dengan pelbagai campuran seperti air beras, limau purut yang dihiris dan disiramkan dengan susunan dedaun seperti daun setawar, sepulih dan sedingin.

Sebelum dimulakan upacara siraman, ia terlebih dulu ditabur beras kunyit dan bertih. Ketika ini ia berubah kepada merenjis air mawar.

Majlis seumpama itu perlu ditukar kepada majlis solat hajat dan doa selamat untuk menjauhi unsur syirik dan khurafat.

sumber : metro

Ini bukan promosi...

TIDAK memaparkan sebarang kontroversi atau gimik, episod sulung program realiti tarian terbitan Astro, Sehati Berdansa 2 menyingkirkan pasangan peserta pertama tanpa memberikan peluang kedua. Seperti yang tertakluk dalam format pertandingan, pasangan peserta yang meraih kutipan undian dan markah terendah daripada juri serta penonton akan disingkirkan.

ANI dan suaminya, Zairi adalah antara pasangan yang mencuri perhatian juri.
Dan tanpa perasaan 'belas kasihan', program realiti yang disertai oleh pasangan suami isteri dari kalangan artis ini menyingkirkan Ashed dan Sharifah Noor Shima (Shima). Walaupun pasangan ini berkongsi markah juri terendah bersama pasangan Shahril Arshad (Shah) dan Noraini Morat (Ani), mereka tersungkur kerana jumlah undian daripada penonton.

MEMPERTARUHKAN tema disco pada minggu pertama Sehati Berdansa 2.
Menjadi peserta pertama tersingkir dalam edisi kedua ini Ahad lalu, vokalis Def Gab C, Ashed bersama isterinya, Shima yang menyampaikan tarian disko dikatakan terlalu relaks dan kurang keyakinan dalam pergerakan oleh juri tetap, Hamzah Tahir. Manakala seorang lagi juri tetap, Linda Jasmine menyatakan Ashed memberikan perasaan penuh tetapi isterinya pula terlalu mengira pergerakan tarian.

SHIMA yang terlalu pemalu tetap cuba untuk menari.

"Program ini masih lagi berada dalam tahap permulaan. Mereka masih boleh memperbaiki tetapi apa boleh buat, rezeki mereka sampai di sini sahaja."Tetapi sebagai juri, saya selalu mengingatkan diri bahawa mereka bukan penari profesional. Namun, ini adalah pertandingan. Jadi setiap kelemahan dan kebaikan perli diteliti," kata Linda.

Walaupun diberi komen tidak mempunyai keserasian dalam tarian oleh juri jemputan, Sazlan Mat Adnan, pasangan ini berjaya mendapat undian yang agak memberangsangkan daripada penonton."Memang kami berasa sedih. Kami memang mendapat markah terendah daripada juri tetapi menduduki tempat keenam dalam senarai undian penonton."Namun, ini semua tidak cukup untuk mengekalkan kami dalam pertandingan ini," kata Ashed yang ditemani isterinya selepas pengumuman keputusan di Studio 1, Astro.


SHAHRIL dan isterinya, Noraini, masih perlu banyak berusaha untuk terus bersaing.

Menampakkan sedikit kekecewaan, Ashed turut memberitahu jumlah masa yang digunakan untuk latihan hanyalah selama tiga hari dan persediaan dilakukan dalam masa seminggu sebenarnya tidak begitu mencukupi.

"Saya adalah penyanyi rock selama ini. Maka, badan saya agak keras dan ini membuatkan saya agak lambat untuk belajar menari."Isteri saya pula agak pemalu tetapi dia telah memberikan yang terbaik untuk pertandingan ini. Lagipun kami berdua tidak mempunyai sebarang asas dalam tarian," jelas Ashed yang dibimbing oleh guru tari, Suriati Osman.

Ditanya sama ada pasangan ini masih akan terus menari, Ashed memberitahu bahawa mereka akan menari lagi kerana tarian telah mengubah cara hidupnya."Selepas mencuba, kami berasa tarian sangat menyeronokkan. Dulu saya hanya tidur pada 6 pagi. Tetapi sekarang saya terpaksa bangun tidur pada 6 pagi. Jadi menari telah mengubah hidup saya secara sihat," tambah Ashed, 35 tahun.


AKSI berani Sasha dan suaminya Salyo.
Sungguhpun tersingkir, Ashed dan isterinya menyampaikan cek bernilai RM1,000 kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia yang diwakili mereka. "Apa yang dikesali adalah kami tidak dapat terus menyumbang kepada persatuan yang kami wakili. Namun, kami akan terus menyertai aktiviti mereka selepas ini walaupun sudah kalah."Kami sudah lebih memahami persatuan ini dan akan terus menyokong mereka," kata Ashed dan Shima yang pernah mengunjungi pusat persatuan ini.Selepas Ashed dan Shima tersingkir, sembilan lagi pasangan akan meneruskan cabaran pada minggu depan dengan tarian Melayu Kontemporari.

Mereka terdiri daripada Amyza Aznan dan Khairil Izhar, Ani Maiyuni dan Zairi Azmi, Jamal Jamaludin dan Noor Faridah, Khai dan Rosma, Mazin Ameen Siraj dan Ida Chairunisa, Lisdawati dan Fauzi Nawawi, Sabrina Ali dan Mohamad Shahrin, Sasha dan Salyo serta Noraini Morat dan Shahril Arsat.Sehati Berdansa 2 yang dihoskan oleh Linda On dan Fahrin Ahmad mempertaruhkan 50 peratus undian penonton dan 50 peratus markah dari pihak juri.Ingin saksikan langkah tarian sembilan lagi pasangan yang masih bertanding, jangan lupa untuk menyaksikan Sehati Berdansa 2 , setiap Sabtu, pukul 9 malam di Astro Ria dan ketahui keputusannya pada program Debaran Sehati Berdansa 2 setiap Ahad, pukul 9 malam.

Sembur sikit : kat sarang aku memang tak ada astro, adalah satu hari tu aku tertengok juga rancangan ni kat rumah kawan aku.... wah du, rasanya sangat memalukan apabila pesertanya (lakibini ) terkinja kinja berjoget, semua tu melayu islam... kenapa jadi begini ?? mana perginya ulama kat malaysia ni?